Ahad, 27 Januari 2013

Senyumlah...

Senyum adalah riak wajah yang ditunjukkan manusia biasanya ketika gembira. Senyum ditunjukkan dengan mulut, dan boleh juga dengan mata.Orang tersenyum kerana banyak sebab, misalnya kerana jenaka atau tersenyum ketika gambar diambil. Namun, kadang-kadang orang tersenyum untuk menutup perasaan yang memalukan. Senyum sering boleh digunakan sebagai tanda keyakinan diri, tanda persetujuan atau sebagai tanda kebahagiaan. Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata bahawa "Senyum kepada saudaramu adalah sedekah".

Semasa seseorang itu senyum, 16 otot muka digerakkan untuk membentuk senyuman manis berbanding 43 otot digunakan apabila muka seseorang itu masam. Ia juga merangsang pengeluaran endorphins (sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh otak untuk mengurangkan rasa sakit).

Senyum mampu mengubah mood kita. Dalam bidang psikologi terdapat teori yang disebut 'maklumbalas wajah' (facial feedback). Hipotesis ini menegaskan bahawa 'pergerakan wajah secara sendirinya menyediakan maklumat persekitaran yang lengkap untuk menentukan pengalaman emosi'. Menurut Davis dan Palladino, ia bermaksud maklumbalas dari ekspresi wajah seseorang akan mempengaruhi emosi dan perlakuannya. Berdasarkan teori ini maka boleh disimpulkan bahawa mood seseorang boleh ditingkatkan dengan senyuman.

Guillaume Duchenne (1806-1875), ahli neurologi Perancis merupakan seorang pakar dalam elektro-diagnosis dan elektro-terapi telah membuat kajian berkaitan senyuman. Beliau telah membuat perbandingan anatomi terhadap senyuman asli dan senyuman palsu. Berdasarkan keputusan yang diperolehi, beliau mendapati bahawa senyuman sebenar yang terhasil daripada rasa gembira dan bahagia bukan sahaja menggerakkan otot-otot di bahagian mulut, malahan juga otot di bahagian pipi dan mata. Berbanding senyuman palsu yang hanya melibatkan otot sekitar mulut. Senyuman Duchenne (Duchenne smile) telah diambil bersempena nama beliau.

Satu lagi kajian berkaitan senyuman telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik di Wayne State University, Michigan terhadap 230 orang pemain besbol yang tercetak gambar mereka di majalah Baseball Register pada tahun 1950an. Penyelidik membahagikan mereka kepada tiga kumpulan iaitu tidak senyum, senyum separuh iaitu hanya otot mulut sahaja yang terlibat dan tersenyum lebar iaitu dengan mengangkat otot pipi dan sekitar mata. Kemudian para penyelidik membandingkan gambar dengan jangka hayat pemain. Didapati bahawa bagi kategori 'tidak senyum' secara puratanya hidup sehingga 72.9 tahun, kategori 'senyum separuh' purata hidupnya 75 tahun sedangkan mereka yang dalam kategori 'tersenyum lebar' hidup sehingga umur 79.9 tahun secara puratanya. Tujuh tahun lebih lama berbanding rakan-rakan mereka yang tidak senyum. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psycological Science ini menegaskan bahawa senyuman palsu tidak menyumbang kepada kesan yang sama.

Operasi mandul awan cegah hujan di Jakarta

JAKARTA – Kawasan utara Jakarta diramal mengalami banjir pada Ahad ini akibat air pasang laut, dan bagi mengelak keadaan banjir menjadi lebih buruk jika hujan turun pada hari sama, usaha sedang dijalankan untuk menghentikan hujan melalui teknologi kejuruteraan untuk ‘memandulkan awan’.

Unit Pelaksana Teknik (UPT) Hujan Buatan, Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT), yang diberi tugas itu, bersiap sedia melakukan operasi itu menggunakan pesawat.

Ketua UPT HUjan Buatan BPPT F. Heru Widodo berkata pasukannya akan melakukan pengubahsuaian awan pada Sabtu kerana mengikut ramalan, pergerakan awan mulai 26 Jan hingga 28 Jan akan menyebabkan berlaku hujan lebat.

“Untuk mencegah hujan lebat ini, kami sudah bersiap-siap untuk melakukan pengubahsuaian hujan untuk tempoh selama dua bulan,” katanya seperti yang dipetik portal berita Media Indonesia, pada Jumaat.
Heru berkata kaedah pengubahsuaian yang akan diterap ialah persaingan, dan anggota pasukan itu akan memilih awan dari jenis kumulus di sekitar barat daya, barat laut, sebelah barat Pulau Jawa atau Wilayah Selat Sunda serta Anyer.

Mereka kemudian akan menyemai awan dengan cara menanam bahan mengandungi garam berukuran 2 hingga 5 mikron dengan bantuan pesawat, selain menggunakan sistem statik di darat melalui alat Ground Base Generator (GBG).

Heru berkata lima GBG akan ditempatkan di sekitar Gunung Gede dan 25 lokasi di wilayah Jakarta untuk mengubah suai awan agar terpecah.

Beliau berkata apabila awan kumulus terpecah, seluruh awan akan bersaing, dan semakin banyak persaingan, maka banyaklah awan yang akan menjadi impoten atau mandul kerana tidak boleh menghasilkan air sama sekali.

Alkisah membeli kereta…

Gani hendak membeli sebuah kereta untuk isterinya ulang-alik ke sekolah. Dia bercadang untuk membeli sebuah kereta yang mudah, tak mahal sekitar RM50,000 dan tak membebankan kewangan keluarga.

Apabila niatnya tersebar di kalangan sahabat-sahabatnya…

Teoh: “Tak baik beli second hand. Benda ini tak boleh jimat nanti menyesal.”

Kamal: “Kalau dah ada niat nak beli, beli jen...is family car boleh tambung semua anak enta.”

Idris: “Zaman sekarang elok tambah video player supaya isteri boleh pandu dengan selesa tanpa anak-anak kecil mengacau.”

Raja: “Usah beli kereta manual. Susah isteri nak pandu. Kalau boleh beli yang Jepun, tak mudah rosak.”

Kavin: “Baik saudara tambah lagi sikit duit untuk dapat kereta yang lebih baik dan selesa. Isteri gembira, saudara tiap-tiap hari gembira.”

Setelah mendengar semuanya, akhirnya Gani telah membeli sebuah kereta mewah, family car berharga RM99,000.

Masalahnya ialah semua sahabat tidak bercerita pada Gani mengenai kos untuk maintain kenderaan mewah yang dibelinya yang hampir sama dengan kos bayaran balik bulanan - minyak, road tax, servis, tayar dan sebagainya.

Akibatnya, Gani mengalami kesulitan kewangan kerana terlalu mendengar dan terpengaruh dengan sahabat-sahabatnya, yang kini tidak dapat membantu apabila dia menghadapi masalah kewangan.

Gani menyangka dengan adanya kereta baru, hidupnya akan bertambah gembira kerana isterinya boleh memandu sendiri ke sekolah. Siapalah tahu, kegembiraan yang diharapkan daripada pembelian kereta tersebut tidak mengunjung, bahkan yang datang mencari ialah masalah bertimbun-timbun semata-mata kerana Gani tidak mengikut pelan asal untuk membeli kereta yang mudah, tak mahal sekitar RM50,000 dan tak membebankan kewangan keluarga.

Kadang-kadang masalah bukan datang sendiri. Tapi sendiri yang mencari masalah. Seperti kes membeli kereta Gani, nak besar sikit, nak bagus sikit, nak moden sikit, nak lebih itu lebih ini… akhirnya segala lebihan menjadi kekurangan dan akhirnya menyebabkan hidup yang tenang tidak lagi tenteram kerana kehadiran lebihan yang kekurangan ini.

Dapat pengajaran dari cerita ini?

Harap bermanfaat.

Senyum

KISAH TIGA ORANG MUKMIN YANG TIDAK MENYERTAI PERANG TABUK

Di antara puak munafikin, jumlah yang tidak menyertai gerakan ke Tabuk boleh dikatakan banyak juga. Bukan sahaja mereka gagal menyahut seruan Nabi Muhammad SAW malah mereka cuba mempengaruhi orang-orang lain supaya berbuat demikian.

Di antara orang-orang ...yang beriman pula, hanya tiga orang sahaja yang tidak menyertai tentera Muslimin. Mereka ini ialah Murarak bin Rabi, Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik. Murarah tidak bersama-sama Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya kerana buah-buah tamar dikebunnya telah masak dan terpaksa dikutip. Dia menyangka yang penyertaannya dalam lain-lain peperangan terdahulu daripada ini dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang sedang dihadapi. Di sini dia telah melakukan kesalahan mementingkan hartanya daripada Allah SWT. Apabila dia menyedari kesalahannya dia mendermakan kebunnya kepada orang.

Akan Hilal pula, dia sibuk mendampingi kaum keluarganya yang pulang ke Madinah selepas meninggalkan kota itu beberapa ketika lamanya. Seperti Murarah, dia juga telah menyertai beberapa peperangan yang terdahulu. Ternyata yang Hilal telah melakukan kesalahan mementingkan kaum keluarganya daripada Allah SWT. Setelah menyedari kesalahannya dia telah memutuskan perhubungan dengan kaum kerabatnya.

Mengenai Ka'ab pula, dengarlah cerita seperti yang diceritakan olehnya sendiri. Cerita Ka'ab ini terkandung di dalam semua buku-buku Hadis. Katanya: "Semasa berlaku gerakan ke Tabuk, keadaan hidup aku agak mewah. Aku mempunyai dua ekor unta kepunyaanku sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah memiliki bilangan unta seperti tersebut tadi. Telah menjadi amalan Nabi Muhammad SAW yang ia tidak suka memberitahu kepada umum tentang tempat yang ditujui oleh gerakan tentera Muslimin, tetapi sekali ini oleh kerana jauhnya perjalanan yang mesti ditempuhi, kerana musim kemarau pada masa itu dan oleh kerana kekuatan tentara kafir, ia terpaksa menceritakan segala-galanya agar persiapan-persiapan dapat diperbuat dengan sempurnanya. Orang-orang yang bakal menyertai pergerakan ke Tabuk terlalu banyak sehingga tidak mungkin diketahui nama-nama mereka semuanya. Demikian juga payahnya untuk mengetahui nama-nama mereka yang tidak menyertai Nabi Muhammad SAW."

"Pada ketika itu kebun-kebun di Madinah telah penuh dengan buah-buah yang telah masak. Tiap-tiap pagi saya bercita-cita hendak membuat persiapan-persiapan agar dapat menyertai tentera Muslimin, tetapi entah bagaimana keazaman saya itu tidak menjadi kenyataan. Saya ketahui benar-benar yang saya dapat menyertai mereka bila-bila masa sahaja. Dalam keadaan saya yang demikianlah, maka berita mengenai keberangkatan tentera Muslim telah sampai ke pengetahuan saya. Saya masih berpendapat yang saya mendahului mereka sekiranya saya dapat bersiap sedia dalam sehari-dua."
.
"Penangguhan saya untuk melakukan sesuatu yang tegas berlanjutan sehingga tibalah masanya tentera-tentera Muslimin hampir tiba di Tabuk. Dalam keadaan yang demikian pun saya masih juga menangguh-nangguh. Tiba-tiba apabila saya melihat orang-orang yang tertinggal di Madinah, saya menyedari yang kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada kaum-kaum munafikin dan mereka yang telah sengaja diuzurkan oleh Nabi Muhammad SAW kerana sebab-sebab yang tertentu. Setibanya Nabi Muhammad SAW di Tabuk, Baginda pun bertanya: "Mengapa aku tidak melihat Ka'ab?" Jawab salah seorang daripada para sahabat: "Ya Nabi Muhammad SAW, kebanggaannya kepada harta dan kesenangan kehidupannya telah menyebabkan dia tertinggal di belakang." Maaz mencelah sambil berkata: "Tidak, Ini tidak mungkin. Setahu kami dia adalah seorang Mukmin yang sebenar-benarnya." Nabi Muhammad SAW tidak mengeluarkan sepatah katapun."

Ka'ab meneruskan ceritanya: "Selepas beberapa hari saya pun mendengar berita mengenai kepulangan Nabi Muhammad SAW saya tiba-tiba dirundungi oleh perasaan sedih dan kesal yang maha hebat. Beberapa alasan iaitu yang mungkin dikemukakan kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengelakkan kemurkaan Baginda terbayang-bayang di kepala saya. Saya juga telah meminta nasihat daripada orang-orang yang cerdik pandai di kalangan keluarga saya, tetapi akhirnya alasan-alasan ini saya ketepikan dan saya membuat keputusan hendak bercakap benar kepada Nabi Muhammad SAW."

"Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila Baginda pulang dari suatu perjalanan, Nabi Muhammad SAW akan singgah di masjid untuk mendirikan Solat Tahyatul Masjid serta beramah mesra dengan pelawat-pelawatnya. Pada ketika itu, datanglah orang munafik bersumpah-sumpah sambil memberi sebab-sebab mengapa mereka tidak menyertai Nabi Muhammad SAW ke Tabuk. Nabi Muhammad SAW menerima saja alasan-alasan yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka sedangkan kandungan batin mereka tinggalkan kepada Allah SWT untuk membereskannya."

"Kemudian saya pun tibalah untuk menemui Rasulullah SAW lantas memberi salam kepada Baginda SAW. Suatu senyuman yang tawar, Baginda menolehkan mukanya ke arah lain. Saya berkata: "Wahai Rasulullah, Tuan memalingkan muka Tuan dari saya. Demi Allah SWT, saya bukannya munafik dan saya tidak meragui kebenaran agama saya." Baginda SAW menyuruh saya mendekati lalu bertanya: "Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, kalau kepada orang lain sudah tentu saya dapat memberi alasan-alasan yang sesuai kerana Allah SWT telah mengurniakan saya dengan kefasihan bercakap, tetapi kepada Tuan, walaupun saya dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang memuaskan hati Tuan, sudah tentu Allah SWT akan memurkai saya. Sebaliknya kalau saya menimbulkan kemarahan Tuan dengan bercakap benar saya percaya lambat-laun kemarahan Tuan itu akan dihapuskan oleh Allah SWT. Oleh itu saya bercakap benar. Demi Allah SWT saya tidak ada sebarang alasan pun sedangkan pada masa itu hidup saya mewah." Kata Nabi Muhammad SAW: "Dia sedang bercakap benar." Kemudian Baginda SAW berkata: "Pergilah kamu dan Allah SWT akan menentukan sesuatu bagi kamu."
.
"Apabila saya meninggalkan Nabi Muhammad SAW, orang-orang dari puak saya telah menyalahkan saya kerana telah bercakap benar di hadapan Rasulullah. Kata mereka: "Kamu sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Kalaulah setelah memberi satu-satu alasan yang sesuai, kamu meminta Nabi Muhammad SAW berdoa untuk diampunkan oleh Allah SWT, yang demikian itu sudah tentu mencukupi." Kemudian saya bertanya kalau-kalau ada orang yang hal keadaannya seperti saya. Mereka menceritakan mengenai Hilah bin Umayyah dan Murarah bin Rabi. Mereka juga telah mengakui kesalahan mereka dan menerima jawapan yang sama. Saya tahu yang mereka ini adalah penganut-penganut agama Islam yang sejati dan telah mengambil bahagian dalam Peperangan Badar."

"Nabi Muhammad SAW sudah memerintahkan supaya kami bertiga dipulaukan. Tidak ada seorang pun yang berani bergaul dan bercakap-cakap dengan kami. Pada masa itu saya berasa seolah-olah saya tinggal berdagang di rantau orang. Kawan-kawan berkelakuan seperti orang asing. Dunia yang begitu luas menjadi sempit. Kalau saya mati, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengimami sembahyang jenazah saya. Sebaliknya kalau Baginda SAW wafat sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas saya akan berterusan sehingga ke akhir hayat saya."

"Kawan-kawan saya yang berdua itu tidak menampakkan diri mereka di luar rumah, sedangkan saya memberanikan diri dengan berjalan-jalan di pasar dan bersembahyang berjemaah tetapi saya tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Kadang-kadang saya memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad SAW sambil memberikan salam. Saya menunggu-nuggu jawapannya dengan penuh harapan. Kerapkali selepas menunaikan solat fardhu, saya akan menunaikan solat sunat berhampiran dengan Nabi Muhammad SAW kerana ingin mengetahui sama ada Baginda SAW akan memandang saya atau tidak. Ya, Baginda SAW memandangkan saya semasa berada dalam sembahyang. Di luar sembahyang Baginda SAW memalingkan pandangannya dari saya."
.
"Pada suatu hari apabila saya rasa yang saya tidak dapat lagi menderitai pemulauan sosial yang dikenakan ke atas saya, saya telah memanjat tembok kebun sepupu saya, Qatadah. Saya mengucapkan salam kepadanya tetapi dia tidak menjawab. Saya menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Saya bertanya: "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah SWT dan RasulNya?" Soalan saya itu terpaksa diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiganya barulah dia menjawab: "Hanya Allah SWT dan RasulNya yang mengetahui." Mendengar jawapannya itu saya menangis lalu meninggalkannya."
.
"Pada suatu ketika, sedang saya melalui sebatang jalan di Madinah, saya terpandang akan seorang Kristian berbangsa Mesir yang telah datang dari Syam. Rupa-rupanya orang itu sedang mencari saya. Apabila orang ramai di situ menunjukkan saya dia pun menghampiri saya sambil menyerahkan sepucuk surat daripada Raja Kristian yang memerintah Ghassan. Surat itu berbunyi: "Kami telah mengetahui akan penganiayaan yang kamu perolehi dari ketua kamu. Allah SWT tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Eloklah kamu menyertai kami dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu."

"Apabila saya membaca surat ini saya mengucapkan: "INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN." Demikianlah hal keadaan saya sehingga orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad. Saya tidak dapat membayangkan segala kecelakaan yang menimpa diri saya. Dengan serta merta saya mencampakkan surat itu ke dalam api dan saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Kata saya: "Ya Rasulullah SAW, saya telah tergelincir di dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat sehinggakan orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad."
.
"Selepas empat puluh hari pemboikotan itu berjalan seorang utusan Nabi Muhammad SAW mendatangi saya dengan membawa satu perintah baru dari Nabi Muhammad SAW. Saya diperintahkan supaya berpisah dari isteri saya. Saya bertanya kepada utusan itu sama ada isteri saya terpaksa diceraikan. Dia hanya menyuruh saya berpisah dari isteri saya. Perintah yang sama diberikan kepada sahabat-sahabat yang berdua itu. Kata saya kepada isteri saya: "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orangtuamu sehingga Allah SWT menentukan sesuatu bagiku."
.
"Isteri Hilal pun telah pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW sambil mengadu kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, Hilal sudah tua dan tidak ada orang untuk menjaganya. Kalau aku meninggalkannya sudah tentu dia akan mati. Izinkan aku supaya menjagainya." Nabi Muhammad SAW menjawab: "Baiklah, tetapi jangan melakukan perhubungan jenis." Kata isteri Hilal: "Ya Rasulullah, dia sudah tidak ada keinginan semenjak pemulauan dikenakan ke atasnya. Dia menghabiskan masanya dengan menangis."
.
"Ada orang yang mecadangkan kepada saya supaya meminta kebenaran daripada Nabi Muhammad SAW untuk membolehkan isteri saya tinggal bersama-sama saya tetapi saya enggan berbuat demikian kerana saya masih muda sedangkan Hilal sudah tua. Lagi pula saya tidak berani membuat permintaan yang demikian. Sehingga ini pemulauan telah dijalankan keatas kami selama lima puluh hari."
.
"Pada pagi yang kelima puluh itu sedang saya duduk-duduk di atas bumbung rumah saya, setelah melakukan Solat Fajar, saya terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit Salak. "Ada berita gembira buat kamu, ya Ka'ab." Sebaik sahaja saya mendengar berita itu saya pun bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT. Saya tahu yang saya telah perolehi keampunan daripada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Muhammad SAW mengisytiharkan keampunan Allah SWT kepada kami bertiga selepas solat Subuh itu."

"Kemudian datang pula seorang penunggang kuda membawa berita yang sama. Oleh kerana kegembiraan yang amat sangat saya telah menghadiahkan pakaian yang terlekat di badan saya kepada pembawa berita gembira itu. Pada masa itu saya hanya memiliki pakaian yang sedang saya pakai tadi. Oleh hal yang demikian saya meminjam sehelai pakaian dari sahabat saya dan memakai pakaian itu dan saya terus pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Apabila saya tiba di masjid orang-orang yang sedang berbual-bual dengan Rasulullah SAW datang menerpa dan memegang tangan saya sambil mengucapkan tahniah. Orang yang mula-mula mengucapkan tahniah kepada saya ialah Talhah. Kemudian saya pun menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Muka Baginda SAW berseri-seri dengan cahaya kegembiraan. Saya berkata kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, saya bercadang hendak mendermakan semua harta saya sebagai mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah sudi menerima taubat saya." Baginda SAW berkata: "Janganlah habiskan semua harta kamu. Tinggalkan sedikit untuk kepentingan dirimu." Saya pun mendermakan harta saya kecuali rampasan yang diperolehi dalam Peperangan Khaibar."

"Kebenaran telah menyelamatkan saya dan oleh itu saya berazam hendak bercakap benar pada setiap masa."

Wallahua'lam.

Solat Dhuha

KEUTAMAAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA

Ianya Amalan Berbentuk Sedekah

Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ

وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ

وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

Maksudnya:
Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720.

Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang Siang Hari
Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang siang hari. Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.

Maksudnya:
Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1097.

Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah
Bagi mereka yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu tetap berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah dan mengerjakan solat Dhuha pada awal terbitnya matahari maka dia mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535.

Ia Solat Bagi Orang Yang Bertaubat
Solat Dhuha adalah termasuk bagi solat untuk orang-orang yang bertaubat (Sholat Awwabin). Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.
Maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 748.


TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA

Waktu Mengerjakan Solat Dhuha
Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah sewaktu matahari mulai naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat setelah solat Subuh (12 minit setelah matahari terbit atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya setelah 15 minit) sehingga sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit). Menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’:

Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan saat tengah hari.

Namun demikian waktu yang afdal adalah pada saat matahari panas terik. Demikian adalah dalil-dalil tentang waktu mengerjakan solat Dhuha:

Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat…– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.
Maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 748.

Jumlah Rakaat Solat Dhuha
Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimal adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang tertentu. Sebelum ini penulis telah memaparkan hadis-hadis berkaitan solat Dhuha yang dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang menunjukkan ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan dua belas rakaat.

Daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam rakaat – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam kitab al-Syamaail, Bab Sholat al-Dhuha, no: 273.

أُمِّ هَانِئٍ فَإِنَّهَا قَالَتْ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ

فَاغْتَسَلَ وَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ.

Maksudnya:
Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam beranjak menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1176.

Di dalam Fathul Baari al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah membawa sebuah riwayat seperti dibawah:

وَعِنْد اَلطَّبَرَانِيّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي اَلدَّرْدَاءِ مَرْفُوعًا مَنْ صَلَّى اَلضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ اَلْغَافِلِينَ ,

وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعًا كُتِبَ مِنْ اَلتَّائِبِينَ , وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ اَلْيَوْمَ ,

وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِيًا كُتِبَ مِنْ اَلْعَابِدِينَ , وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَة بَنَى اَللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي اَلْجَنَّةِ

Maksudnya:
Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadis Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. – rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadis Shahih al-Bukhari no: 1176. Namun status hadis ini diperselisihkan olah para ulamak hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadis ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilai tsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar yang diriwayatkan oleh al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang lebih tepat hadis ini dha’if. Wallahu’alam.

Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu adalah:

مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:

كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي صَلاَةَ الضُّحَى؟

قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ.

Maksudnya:
Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Dhuha?
Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 719.

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Rabu, 31 Oktober 2012

Kisah si buta...

Karim yang buta sejak berusia 8 tahun tidak pernah jemu memohon agar Allah mengembalikan penglihatannya. Sejak terkena demam panas, ia terus menempuh kehidupan dalam serba kegelapan. Namun itu bukan alasan baginya untuk mengabaikan perintah Allah dan berusaha mendekatkan diri padaNya.

Setiap selepas solat, Karim akan menadah tangan merayu -rayu agar Allah mengembalikan penglihatan kepadanya. Teringin benar ia melihat wajah isteri dan anaknya yang masih kecil. Namun Karim masih beruntung kerana mempunyai seorang kawan Hakimi yang kebetulan jiran yang sentiasa mengambil berat kehidupannya sekeluarga. Apa sahaja hajat beliau dan keluarga, Hakimilah tempat ia meminta pertolongan.

Terlalu banyak jasa Hakimi kepada dia dan keluarga. Pernah satu hari anaknya demam, Hakimilah membawanya ke hospital. " hakimi, saya ucap terima kasih banyak- banyak kerana pertolongan dan bantuan yang kamu berikan pada saya, isteri dan anak." ucapan penghargaan sering menghembur keluar dari mulut Karim. Namun dia tidak kecewa atau berputus asa, terus bermunajat kepada Ilahi setiap kali lepas solat.

Suatu hari selepas solat asar ia terus munajat, merayu sesungguh hati. ya Allah, kurniakanlah penglihatan kepadaku dengan rahmat dan kebesaranMu, yaAllah, tolonglah Aku untuk melihat dunia ciptaanMu, Ya Allah, dengan kekuasaan yang ada padaMu dan dengan rahmatMu, pulihlah kembali penglihatanku, tolonglah ya Allah, tolonglah ya Allah ". Karim terus merayu dan merayu. Tiba-tiba ia terasa ada cahaya masuk ke kelopak matanya, ia semakin terang dan terang. Akhirnya ia dapat melihat kembali. "Ya Allah, Ya Allah" , Karim terus menangis, dan menangis kegembiraan. Ia terus sujud syukur, ia dapat melihat semula setelah bertahun dia berada dalam kegelapan .

Karim terus teringatkan anaknya yang masih kecil, isteri kesayangan dan Hakimi yang sering membantunya. dia terus keluar dari masjid menuju rumahnya yang tidak jauh. Ia berjalan laju tidak sabar untuk memberi tahu isterinyanya, dan tidak sabar ingin melihat anaknya. Dia menerpa masuk ke dalam rumahnya, dan terus mencari anak dan isteri. Dia meluru ke bilik tidurnya. Pintu terus dibuka, dan dia melihat dua insan sedang berpeluk mesra. Hakimi dan isterinya.

Ya Allah, apa ini. Ia gerus berteriak, tangisan kegembiraan terus bertukar menjadi hiba dan kecewa. " Ya Allah, sewaktu aku buta, aku gembira dan bahagia. Kini setelah aku dikurniakan kembali penglihatan, engkau tarik kegembiraanku dan kepercayaanku pada isteri dan sahabatku".

Pengajaran terkadang sengaja Allah rahsiakan sesuatu perkara, kerana kebaikan yang banyak. Peristiwa silam yang dialami oleh setiap insan sebahagiannya bukan untuk dikongsi dengan orang lain. Tetapi ianya untuk dipohon keampunan dari Allah. Dan jangan khianat kerana kalaupun di dunia tidak dibongkar, nanti akhirat akan diketahui dan diterima jua balasannya. Ya Allah, ampuni dosa kami............. Senyum selalu.